Latar Belakang

Latar Belakang

Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan pada Januari 2019. Sejak awal penubuhan, Institut MASA telah memberi tumpuan dalam pembentukan dan pembangunan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Penubuhan dan perancangan hala tuju Institut MASA telah bermula sejak September 2018 dengan mandat daripada Perdana Menteri Ketujuh, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengasas Institut MASA seiring dengan usaha pembentukan dan pembangunan WKB2030. Gerak kerja ini telah dimulakan oleh sekumpulan penyelidik yang membantu dalam pendaftaran dan penubuhan Institut MASA.

Penubuhan institut ini adalah bertujuan untuk memantau dan memperhalusi agenda nasional di samping menjalankan kajian serta pendekatan intelek dalam menambah baik polisi dan proses pembuatan keputusan kerajaan. Institut MASA terdiri daripada kumpulan pakar pelbagai disiplin ilmu yang berperanan memperkukuhkan dan menyelaras pelaksanaan strategi-strategi dan pelan tindakan berkaitan melalui kerjasama strategik merentasi pelbagai sektor agar inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara holistik dan bersepadu.

Institut MASA kini terlibat dalam pelbagai penyelidikan, penerbitan, khidmat nasihat, konsultasi, analisa data serta program pembangunan kapasiti dan keupayaan.

Visi

Untuk menyokong polisi, melaksana dan menjalin inisiatif mengenai polisi ekonomi awam dan social bagi meningkatkan kualiti pembangunan ekonomi dan memperkukuhkan amalan negara bangsa.

Objektif

Objektif utama penubuhan Institut MASA dalam mencapai perkembangan dan kemakmuran ekonomi Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bangsa’ yang berdaya tahan, kukuh serta dinamik adalah seperti berikut:

  • Memantau dan menganalisa situasi dan data ekonomi, perniagaan, industri dan indikator sosial untuk Malaysia dan khususnya Bumiputera serta keberkesanan penghasilan institusi dan polisi;
  • Menasihati, bekerjasama dan memudahcara langkah penyelesaian, inisiatif dan polisi berkait perkara-perkara ekonomi dan sosial untuk Malaysia dan khususnya Bumiputera bersama pihak-pihak berkepentingan, kepada kepimpinan, organisasi dan rakyat pada peringkat antarabangsa, serantau dan nasional; dan
  • Menggembeling dan menggerakkan segala sumber, upaya, jaringan dan pelbagai insiatif bagi menjayakan matlamat kemakmuran bersama dan penambahbaikan status serta masa depan Malaysia dan Bumiputera khususnya.